Monday, October 27, 2008

MAJLIS SUAI-KENAL VILLA SURIA 2008



Berlangsung pada 18 haribulan Oktober 2008, satu majlis suai-kenal telah dianjurkan oleh Jawatankuasa Sementara Penduduk-penduduk Villa Suria berhampiran dengan kawasan Taman Permainan Villa Suria. Tujuan majlis ini dianjurkan ialah untuk berkenal-kenalan sesama jiran tetangga dan seterusnya mengeratkan tali silaturahim diantara penduduk-penduduk di Villa Suria, Shah Alam .

Majlis ini telah mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan dari penduduk-penduduk Villa Suria. Malah, ramai penduduk yang masih menunggu kunci rumah masing-masing turut serta untuk memeriahkan lagi majlis yang julung kali diadakan ini. Sambutan luar jangkaan ini telah menunjukkan ketulusan dan semangat penduduk-penduduk Villa Suria untuk hidup berkomuniti.

Walaupun pada masa itu baru selesai hujan, para jemputan telah mula tiba ke khemah yang telah disediakan seawal jam 8 malam lagi dan telah disambut mesra ahli-ahli jawatankuasa sementara yang segak berbaju melayu. Tua, muda, lelaki dan perempuan turut sama untuk menjayakan majlis ini.

Majlis telah dimulakan lebih kurang jam 8.45 malam oleh pengerusi majlis iaitu saudara Adrin Adzuan dari G3. Seterusnya, beliau telah mempersilakan Tuan Haji Kolonel (B) Zainal sebagai penghulu dan wakil jawatankuasa sementara untuk memberi ucapan kata alu-aluan. Ucapan beliau ditutupi dengan doa supaya majlis ini diberkati oleh Allah Subhanawata'ala.

Turut menyerikan majlis ialah En. Shahril iaitu wakil dari pihak pemaju, Sunway City Berhad dan juga ahli-ahli pasukan keselamatan Sunway termasuk pegawai mereka, En. Ghazali. Sambil para tetamu menjamu selera, para jemputan juga telah mengambil peluang untuk berkenalan-kenalan sesama sendiri. Bermula dengan pergaulan yang mesra maka ikatan persahabatan telah terjalin.

Malah untuk membayangkan betapa malam ini telah berjaya, pada malam itu anak-anak kecil para jemputan yang kebanyakkannya baru bertemu buat pertama kali telah sempat bermain bolasepak sesama mereka sementara ibu bapa mereka sibuk bergaul dengan jiran tetangga yang lain.

Jamuan makan di malam itu disediakan secara 'potluck', di mana para jemputan selain dari memberi sumbangan kewangan untuk menjayakan majlis ini tetapi juga telah membawa juadah serba sedikit. Antara juadah-juadah yang dihidangkan adalah seperti mee bandung, laksa, nasi tomato, sate, laksa johor, roti jala, agar-agar, kek, lemang, nasi empit, rendang, Char Kueh Teoy, sirap bandung Johor dan banyak lagi. Untuk mengelakkan pembaziran akibat makanan yang disediakan berlebihan, ramai para jemputan berpeluang untuk membawa sedikit bekal balik ke rumah.

Pihak penganjur ingin juga mengambil peluang ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang telah menjayakan majlis ini serta ingin memohon ampun dan maaf untuk segala kekurangan serta salah-silap yang dilaku dalam menganjurkan majlis ini. Terima kasih.

Ini adalah beberapa gambar yang sempat diambil di majlis tersebut, sila klik di bawah :-




Majlis Suai Kenal Villa Suria




Artikel ini disumbangkan oleh Adrin G3

3 comments:

  1. Tahniah buat semua yang hadir dan terlibat menjayakan majlis ini, semoga diberkati dan dirahmati.

    wasalam.

    ReplyDelete
  2. majlis mlm tu memang best..
    dapat kenal siapa jiran-jiran kat sebelah dan belakang.

    2 thumb-up!!:)
    p/s-cameraman,upload gambar lagi...

    ReplyDelete
  3. Betul tu. Sesiapa yang ada bawa camera pada malam tu boleh emailkan gambar2 kpd saya di villasuria@gmail.com

    ReplyDelete